Hang Tuah Berbangsa Cina
Shahabudeen Jalil
Ramai di kalangan anggota masyarakat kita terutamanya orang-orang Melayu menganggap Hang Tuah adalah legenda pahlawan Melayu. Pada hakikat sebenarnya Hang Tuah bukanlah dari keturunan Melayu sebagaimana yang disangkakan. Itulah yang bakal dihuraikan dalam artikel ini.
Selama ini orang-orang Melayu telah
terkeliru atau mungkin tertipu dengan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda
pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Hang Tuah sebenarnya telah diMelayukan
untuk tujuan kemegahan semacam bentuk yang tercatat pada Robin Hood.
Di dalam bilik-bilik darjah, dewan-dewan
kuliah atau seminar bermotifkan sejarah atau kajian sejarah hanya membincangkan
tentang kepahlawanan, kebijaksanaan serta kesetiaan Hang Tuah. Kisah Hang Tuah
yang diagung-agungkan ini telah menenggelamkan keadaan sebenar tentang asal
keturunannya.
Di kalangan masyarakat Melayu dewasa ini
telah timbul semacam keraguan tentang pahlawan mereka ini, apabila penghormatan
kepada pahlawan mereka mula dipersendakan dengan reaksi-reaksi melampau seperti
kelihatan dalam filem Hang Tuah.
Keraguan terhadap kedudukan Hang Tuah
sebagai pahlawan Melayu telah menghasilkan satu penyelidikan dijalankan terhadap
asal usul keturunan secara hipotesis. Jika pepatah Melayu sendiri telah
mengatakan ‘bahasa jiwa bangsa’ dan ‘manusia mati meninggalkan nama’ . Bagaimana
pula kita hendak menafikan kenyataan ‘nama menunjukkan bangsa’. Bahasa ‘nama’
merupakan identifikasi yang cukup jelas untuk mengetahui jenis sesuatu bangsa
itu.
Bukti yang dapat menerangkan asal-usul Hang
Tuah setakat ini, hanyalah dapat disandarkan pada namanya. Oleh itu satu kajian
secara hipotesis telah dijalankan dengan bersandarkan kepada ‘nama’ manusia
untuk memperolehi jawapan tentang asal-usul Hang Tuah sebenarnya.
Dalam perbendaharaan nama-nama orang Melayu
semasa zaman kesultanan Melaayu Melaka, tiada terdapat nama-nama seumpama Hang
Tuah, Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, ringkasnya ringkasan
yang bermula dengan ‘Hang’. Sejarah juga telah mencatatkan nama-nama dari bangsa
Cina yang bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee. Ia bergantung kepada suku kaum
atau asal-usul keturunan mereka dari wilayah tertentu dari China. Kemungkinan
untuk mendakwa bahawa gelaran ‘Hang’ telah dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu
juga tiada asasnya.
Mengikut kertas kerja yang dihasilkan oleh
Mohd. Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM dengan tajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari
Aspek Kemasyarakatan,’ cuma menyatakan bahawa sesuatu penghormatan, ketaatan
atau kedudukan adalah diberi gelaran seperti Bendahara, Paduka Raja, Temenggung,
Laksamana, Shahbandar dan Mandulika.
Mengikut buku ‘Sejarah Melayu’ edisi W.G.
Shellabear penerbitan Malaya Publishing House Ltd. Singapore halaman 123-131,
menyatakan tentang Tun Perpatih Putih, iaitu utusan Sultan Mansur Shah ke negeri
China telah membawa balik bersamanya seramai 500 orang dayang serta Puteri Hang
Li Po. Sultan Mansur Shah dikatakan telah berkahwin dengan puteri dari China ini
dan telah menghasilkan anak bernama Paduka Mamat.
Perkara yang menarik dari edisi W.G.
Shellabear ini ialah munculnya nama puteri Hang Li Po. Hasil perkahwinan
‘campur’ antara puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah, telah dikurniakan
seorang putera dan telah diberi nama Paduka Mamat. Nama Paduka Mamat adalah nama
Melayu dan tidak pula berlaku nama ‘Paduka Hang Mamat’ sebagai penghargaan
kepada puteri Hang Li Po, contohnya. Sejarah telah membuktikan bahawa nama-nama
dari keturunan Cina biasanya bermula dengan Hang, Tan, Maa dan Lee bergantung
kepada suku kaum mereka dan dari wilayah tertentu asal mereka.
Jika dihubungkaitkan dengan nama Hang Tuah
dari sebutan loghat Cina adalah berbunyi seperti Hang Too Ah. Nama Hang Jebat
berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang
Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Mengikut prosedur tentang suku kata nama bangsa
atau keturunan Cina, biasanya cuma terdiri dari 3 suku kata sahaja. Nama Hang
Kasturi pula diragui kerana 4 suku kata walaupun ia bermula dengan perkataan
Hang. Perkataan Kasturi pula ada berbaurkan loghat bahasa Melayu.
Terdapat 3 andaian hasil kajian secara
hipotesis yang dijalankan.
Pertama : Hang Kasturi adalah berbangsa
Melayu tetapi bergaul rapat dengan anak cucu dari rombongan puteri Hang Li
Po.
Kedua : Nama sebenarnya ialah Kasturi tetapi
telah digelar Hang Kasturi oleh 4 orang rakan karibnya yang berketurunan Cina
sehingga menjadi sebutan yang kekal.
Ketiga : Mungkin nama Cina sebenar Hang
Kasturi sukar disebut oleh masyarakat tempatan. Oleh itu mereka telah
memberikannya nama baru mengikut loghat orang Melayu tempatan dan nama ini telah
diterima dengan baik oleh beliau.
Perkara lain yang menarik ialah petikan
kertas kerja Ong Hak Ching. Jabatan Sejarah UKM ada mengatakan bahawa Sultan
Mansur Shah telah memberikan tempat kediaaman di Bukit Cina kepada puteri Hang
Li Po serta 500 orang dayang-dayangnya. Anak-anak cucu mereka digelar ‘biduanda
Cina’ juga bermakna golongan yang dilindungi. Sama ada yang sudah memeluk Islam
atau masih memeluk agama asal mereka.
Terdapat 3 andaian secara hipotesis mengenai
hal ini.
Pertama : Tidak kesemua dari anggota
rombongan puteri Hang Li Po yang memeluk agama Islam.
Kedua : Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee
Ker, Hang Lee Kiew, adalah keturunan dari rombongan puteri Hang Li Po.
Ketiga : Keempat-empat sahabat ini
kemudiannya telah memeluk agama Islam tetapi mengekalkan sebutan nama mengikut
loghat bahasa Melayu atas sebab-sebab tertentu, seperti Hang Tuah, Hang Jebat,
Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Hal yang lebih lanjut mengenai Hang Kasturi.
Telah timbul percanggahan pendapat sejak dahulu lagi, sepertimana kajian secara
hipotesis ini meragukan tentang nama sebenar Hang Kasturi. Percanggahan pendapat
ini berlaku antara pengarang ‘Sejarah Melayu’ dan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’
mengenai siapa sebenarnya telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Pengarang
Sejarah Melayu menuduh Hang Kasturi manakala pengarang Hikayat Hang Tuah Pula
menuduh Hang Jebat.
Pertama :Tersirat sesuatu hal yang unik dan
tersembunyi tentang kedua-dua tokoh pahlawan ini sehingga tidak ada satu kata
sepakat di kalangan kedua pengarang serta pakar sejarah lampau.
Kedua : Pengarang ‘Sejarah Melayu’ telah
menggunakan bahan dalam penulisannya secara mengambil pendapat lisan dan tiada
ada satu penyeledikan terperinci, kerana ia menyentuh kisah-kisah yang terlalu
luas serta hal-hal yang menyeluruh.
Ketiga : Pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’
adalah lebih formal kerana menggunakan semacam bentuk kajian sehingga dapat
menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara lebih detail.
Hasil kajian secara hipotesis ini telah
membuktikan pengarang Hikayat Hang Tuah mempunyai banyak kelebihan dan
penulisannya tentang hal Hang Jebat yang telah menderhaka kepada Sultan, adalah
diterima mengikut hukum asal. Rumusan daripada kajian yang dijalankan telah
menghasilkan penemuan baru yang melibatkan kedudukan Hang Tuah sebagai legenda
pahlawan Melayu. Mengikut kajian hipotesis ini, Hang Tuah merupakan pahlawan
yang telah diMelayukan demi untuk kemegahan atau simbol kepada orang-orang
Melayu. Kita lihat bagaimana hipotesis ini menerangkan asal-usul Hang
Tuah.
Hang Tuah adalah anak cucu kepada keturunan
rombongan puteri Hang Li Po yang datang ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Nama sebenar Hang Tuah ialah Hang Too Ah. Tetapi bertukar kepada nama sebutan
Hang Tuah apabila pahlawan ini memeluk agama Islam dan berkhidmat kepada Sultan
Melaka.PengIslaman Hang Tuah telah mempengaruhi 3 orang rakan karibnya iaitu
Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew. Keempat-empat sahabat baik ini
juga bergaul rapat dengan Kasturi, iaitu rakan sebaya mereka yang berbangsa
Melayu. Mereka juga menggelar Kasturi dengan gelaran Hang Kasturi sebagai tanda
satu persahabatan yang abadi.
Kelima-lima sahabat ini mula masyhur di
kalangan istana apabila mereka menyelamatkan Bendahara dari serangan orang
mengamuk. Mereka berlima kemudiannya memeluk agama Islam. Nama-nama mereka
mengikut loghat Melayu telah tersebar dengan cepat dan meluas samada di kalangan
istana atau orang-orang Melaka ketika itu termasuk nama Hang Kasturi.
Tiada bantahan yang pernah dibuat ketika itu
kerana masyarakat Melayu zaman itu telahpun menganggap anak cucu dari rombongan
puteri Hang Li Po sama seperti saudara Melayu mereka. Demikianlah serba ringkas
kisah Hang Tuah yang berasal daripada keturunan puteri Hang Li Po dari kajian
hipotesis ini.
Berdasarkan hipotesis ini juga bererti
orang-orang Melayu telah kehilangan seorang pahlawan lagenda yang selama ini
mereka bangga-banggakan. Walaupun demikian orang-orang Melayu telah terselamat
daripada tuduhan menderhaka kepada Sultan. Hang Jebat atau nama asalnya Hang Jee
Fatt yang telah menderhaka kepada Sultan bukanlah daripada keturunan orang
Melayu Jati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan